Selasa, 30 Oktober 2012
KATA GANDA SEPARA
Kekuda bermaksud kayu penyangga tulang bumbung rumah atau kayu palang untuk menyangga (kayu yang akan ditarah dan lain-lain.
Kekisi bermaksud batang-batang daripada kayu atau logam (besi dan lain-lain) yang dipasang berdiri pada tingkap dan lain-lain, atau jeruji.
Tetupai bermaksud keratan kayu yang dilekapkan (dipakukan) pada tiang dan lain-lain untuk menyangga sesuatu.
Sesiku bermaksud sejenis alat berbentuk `L' atau `T' (untuk melukis atau mengukur sesuatu sudut tepat); atau sejenis alat segi tiga daripada kayu dan lain-lain (dan bersudut 90°, 60°, dan 30° atau 90°, 45°, dan 45°).
Isnin, 29 Oktober 2012
ALLAH MAHA PENGASIH DAN PENYAYANG
MEREBUT kasih sayang Allah SWT sama sekali berlainan dengan kasih sayang antara manusia. Ini kerana kasih kepada Allah SWT bukan saja menuntut keikhlasan, kepercayaan dan kejujuran, malah memerlukan pengorbanan sepanjang masa.
Ini berbeza dengan kasih sesama manusia yang mempunyai pasang surut dan boleh ditukar ganti, terutama apabila seseorang itu meninggal dunia.
Kasih sesama manusia hanya boleh dinikmati ketika hidup di dunia, manakala kasih kepada Allah pula dibawa hingga ke akhirat.
Apabila ajal menjemput, putus hubungan sesama manusia, sebaliknya berlainan pula dengan kasih dengan Allah SWT. Setiap amalan kebaikan yang dilakukan untuk Allah SWT akan dibawa bersama, sebagaimana Abu Hurairah RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak soleh yang berdoa untuknya.” (Hadis Sahih — Riwayat Imam Ahmad) Tiga amalan ini menjadi bukti jelas kasih sayang Allah SWT kepada manusia, di mana ia juga menjadi tanda sejauh mana ketaatan antara hamba dan pencipta-Nya.
Apabila dihisab dan mendapati amalan kebaikannya lebih berat daripada amal keburukan, itulah tanda seseorang itu mengagungkan kasih pencipta-Nya yang kekal sebagaimana juga janji-Nya bahawa setiap manusia yang ikhlas kepada-Nya akan dibayar dengan ganjaran syurga.
Justeru, kita hendaklah saling mengingati antara satu sama lain dalam melaksanakan ibadat dan paling utama untuk mendapatkan rahmat serta keredaan daripada-Nya.
Kita wajib yakin bahawa Allah memiliki segala sifat kesempurnaan. Tidak ada sesiapa boleh mengatasi kuasa-Nya.
Firman Tuhan, mafhumnya: “Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benarnya.” (Ali-Imran: 102) Kebanyakan ulama menghuraikan maksud ayat itu dengan menegaskan Allah wajib ditaati perintah-Nya dan tidak boleh dimaksiati.
Allah mesti diingati (zikir) dan tidak boleh diingkari. Ayat ini juga adalah pesanan penting kepada hamba-Nya kerana Allah menghimpun dalam sifat takwa itu segala kebaikan dunia dan kenikmatan akhirat.
Sifat takwa adalah peringatan Allah yang utama, baik bagi orang terdahulu atau terkemudian.
Firman Allah, mafhumnya: “Dan sesungguhnya kami memerintahkan orang- orang yang diberikan kitab sebelum kamu dan juga kepada kamu supaya bertakwalah kepada Allah.” (An- Nisa: 131) Sebenarnya, tidak ada kebaikan di dunia atau akhirat, baik zahir atau batin, melainkan takwa yang menjadi perintis dan penyebab yang menghubungkan kita kepada Allah.
Demikian juga tidak ada satu kebaikan di dunia atau akhirat sama ada zahir atau batin yang kukuh serta menjadi benteng teguh untuk menyelamat dan melepaskan kita daripada bencana Allah, kecuali takwa.
Sesungguhnya Allah sentiasa bersama golongan bertakwa. Firmannya: “Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah bersama-sama dengan orang- orangnya bertakwa.” (Al-Baqarah: 194) Satu jaminan diberikan oleh Allah ialah orang bertakwa akan terpelihara daripada merasai tekanan hidup. Rezekinya sentiasa melimpah ruah. Hidupnya tenang dan sentiasa mendapat keberkatan.
Firman Allah: “Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberikan rezeki dari arah yang tiada disangka- sangkanya.” (Al-Thalak: 2) Jadi, sangat penting setiap umat Islam dapat membezakan antara kasih manusia dan kasih terhadap pencipta-Nya. Mudah-mudahan, dengan itu kita memperoleh rahmat dan keredaan Allah baik di dunia mahupun di akhirat kelak, serta ditempatkan di kalangan orang beriman.
Langgan:
Catatan (Atom)